KUCHING, 24 April: Sarawak komited memperkukuh kerjasama dengan negara ASEAN dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan secara menang-menang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekuatan strategik Sarawak dari segi lokasi, kekayaan sumber serta hubungan budaya erat memberi kelebihan kepada wilayah ini untuk memainkan peranan lebih besar dalam mendokong kemajuan rantau ASEAN.
“Dengan memanfaatkan kedudukan strategik, kekayaan sumber dan ikatan budaya serantau, kita percaya ia mampu merangsang pertumbuhan serantau dan memningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam Gala Negeri sempena Mesyuarat ke-33 Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, penyertaan aktif Sarawak dalam agenda pembangunan ASEAN diperkukuh menerusi Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang menyokong keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau turut mengumumkan Sarawak bakal melancarkan syarikat penerbangan baharu, Air Borneo pada tahun 2026 bagi memperkukuh kesalinghubungan udara ke bandar-bandar utama ASEAN.
“Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa dan Pelabuhan Laut Dalam yang dicadangkan di Tanjung Embang bakal mengubah Sarawak menjadi hab penerbangan dan maritim serantau sekali gus meningkatkan keterhubungan udara dan laut serta memperkukuh daya tarikan Sarawak kepada komuniti perniagaan, pelabur dan pelancong,” ujarnya.
Menurutnya, kedudukan Sarawak yang berkongsi sempadan darat dengan Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia membuka peluang besar untuk pembangunan ekonomi rentas sempadan terutama dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.
Selain itu, penyertaan aktif Sarawak dalam inisiatif subserantau seperti BIMP-EAGA juga menyokong agenda integrasi ekonomi ASEAN secara menyeluruh.
“Platform seperti BIMP-EAGA mampu membuka potensi baharu ke arah membina ASEAN yang lebih kuat, bersatu, makmur dan berdaya tahan,” jelasnya.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta delegasi dari negara-negara ASEAN. – TVS