KUCHING, 25 April: Isu pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak wajar disandarkan kepada satu faktor semata-mata, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, kenyataan Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli yang mendedahkan seramai 800 pelajar di negeri ini tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 mencerminkan cabaran pelbagai lapisan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Kita perlu faham bahawa angka 800 itu merangkumi pelajar daripada pelbagai latar belakang. Ada yang masih muda, berusia sekitar 14 atau 15 tahun, dan belum cukup umur untuk menduduki peperiksaan tersebut.
“Selain itu, terdapat pelajar yang tidak berminat untuk meneruskan pelajaran walaupun guru telah berusaha memujuk mereka kembali ke sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Siburan bagi penggal 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028, di sini hari ini.
Roland menegaskan bahawa ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan tidak semestinya berpunca daripada kemiskinan, memandangkan ada dalam kalangan mereka yang berasal daripada keluarga berkemampuan namun tetap tidak menunjukkan minat terhadap pendidikan.
“Hanya pelajar itu sendiri yang mengetahui punca sebenar. Ada antara mereka yang sudah berkahwin, jatuh sakit atau terlibat dalam kemalangan, yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahan,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa isu tersebut semata-mata berkaitan ponteng sekolah, sebaliknya ia melibatkan pelbagai faktor yang kompleks.
Namun begitu, beliau melahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan para guru yang sanggup turun padang, termasuk mengunjungi rumah pelajar bagi memujuk mereka untuk kembali bersekolah.