JAKARTA, 25 April: Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia memusnahkan sebanyak 12 tan pokok ganja yang diperoleh daripada dua ladang ganja di wilayah Aceh Besar pada Khamis.
Operasi tersebut berjaya mengesan dua lokasi utama penanaman ganja yang terletak di kawasan Kuta Cot Glie dan Indrapuri, pada ketinggian 224 meter dari paras laut dengan hasil pemantauan udara menggunakan pesawat tanpa pemandu (drone) serta siasatan intensif yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Bahagian Pembanterasan BNN, I Wayan Sugiri, yang mengetuai operasi berkenaan, memaklumkan bahawa pihaknya telah menemui dua kawasan ladang ganja seluas kira-kira tiga hektar, yang ditanami dengan sejumlah 24,500 pokok ganja yang telah matang dan bersedia untuk dituai.
“Di ladang pertama, kami menemui kira-kira 15,000 pokok ganja, manakala di ladang kedua terdapat 9,500 pokok yang juga telah siap dituai malah, kami turut memusnahkan benih-benih ganja yang ditemui,” katanya.
Menurutnya lagi, meskipun kawasan ladang tersebut sukar untuk diakses, operasi berkenaan tetap dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kesemua pokok ganja telah dimusnahkan di lokasi penemuan melalui kerjasama strategik antara pelbagai agensi yang melibatkan seramai 158 anggota pasukan gabungan.
Langkah ini merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan Indonesia dalam usaha membanteras pengedaran dadah haram, khususnya ganja yang dilihat sebagai ancaman serius di wilayah Aceh.