KUCHING, 25 April: AFFIN Bank memperkenalkan Akaun AFFIN Kenyalang, satu inisiatif khas yang ditawarkan hanya kepada anak Sarawak.
Memetik laporan Suara Sarawak Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penawaran akaun dan kad bank tersebut adalah simbol identiti negeri dalam pembangunan negara bangsa.
“Akaun dan kad bank ini boleh dimiliki oleh individu yang mempunyai MyKad dengan huruf K sebagai pengesahan bahawa mereka adalah anak Sarawak. Ia juga terbuka kepada individu yang mempunyai alamat kediaman atau pejabat di Sarawak, termasuk pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di aplikasi Facebook hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha menyokong dasar Sarawak First yang dipelopori oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Akaun ini tidak memerlukan sebarang deposit permulaan dan tidak menetapkan baki minimum untuk dikekalkan, menjadikannya lebih mudah diakses oleh rakyat Sarawak dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.
Dr. Sim turut menyatakan AFFIN Bank kini dimiliki majoriti oleh Kerajaan Sarawak melalui pegangan sebanyak 678 juta unit saham yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh kehadiran ekonomi Sarawak di peringkat nasional.
“Orang ramai yang ingin membuka Akaun AFFIN Kenyalang boleh berbuat demikian dengan mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai Akaun AFFIN Kenyalang boleh didapati melalui laman web rasmi AFFIN Bank.-TVS