ALOR SETAR, 25 April: Kira-kira 85,000 rayuan diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH), iaitu hampir tiga kali ganda daripada kuota rasmi sebanyak 31,600 jemaah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi musim haji 1446 Hijrah/2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya sangat berharap kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan permohonan tambahan kuota sebanyak 10,000 jemaah.
“Kita sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan Arab Saudi bulan lalu.
“Malam tadi, saya juga menghantar mesej kepada rakan sejawat saya, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rayuan tersebut.
“Saya yakin kerajaan Arab Saudi akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap permintaan kita,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) Cawangan Kedah dengan kerjasama Yayasan Taqwa, di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di Kuala Sungai, di sini, hari ini.
Mohd Na’im memberitahu, rayuan yang dikemukakan akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pendeposit yang sudah menerima tawaran haji, namun tidak dapat menunaikan ibadah itu atas pelbagai sebab seperti masalah kesihatan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, dilaporkan berkata permintaan tambahan kuota haji sebanyak 10,000 jemaah telah disalurkan melalui kerajaan kepada Arab Saudi.
Beliau turut memaklumkan bahawa penerbangan pertama jemaah haji dijadualkan bermula pada 29 April ini, manakala penerbangan terakhir ialah pada 30 Mei. – TVS