Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Asap tebal kelihatan membumbung akibat pengeboman Israel ke atas sebuah bangunan di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza pada 24 April 2025. Foto AFP

55 terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Gaza

ByAFP

GAZA, 25 April: Pasukan penyelamat dan petugas perubatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Khamis, ketika tentera rejim itu memberi amaran akan melancarkan serangan yang lebih besar sekiranya tebusan tidak dibebaskan dalam masa terdekat.

Israel menyambung semula serangan tenteranya di Semenanjung Gaza sejak 18 Mac lalu, selepas gencatan senjata selama dua bulan berakhir, sekali gus menamatkan sementara pertempuran di wilayah Palestin yang dikenakan sekatan itu.

Ketua Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir yang melawat askar-askar di Gaza pada Khamis memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan diperluaskan sekiranya tebusan yang ditawan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 tidak dibebaskan.

“Jika tiada kemajuan dalam pembebasan tebusan dalam masa terdekat, kami akan perluas operasi ini kepada skala yang lebih besar dan lebih signifikan,” katanya.

Amaran itu dibuat ketika tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu bagi kawasan utara Gaza sebelum serangan dirancang dilancarkan.

Awal pagi Khamis, enam sekeluarga – sepasang suami isteri dan empat anak mereka – terbunuh apabila rumah mereka di Gaza City musnah akibat serangan udara, menurut kenyataan agensi pertahanan awam.

Nidal al-Sarafiti, saudara mangsa, berkata serangan berlaku ketika keluarga itu sedang tidur.

“Apa lagi yang boleh saya katakan? Kemusnahan ini tidak mengenal sesiapa,” katanya kepada AFP.

Sembilan orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam satu lagi serangan ke atas bekas balai polis di kawasan Jabalia, menurut kenyataan dari Hospital Indonesia yang menerima mangsa-mangsa tersebut.

“Semua orang mula menjerit dan berlari, tak tahu nak buat apa kerana ketakutan dan keganasan serangan itu,” kata Abdel Qader Sabah, 23, dari Jabalia.

Tentera Israel menyatakan bahawa mereka menyerang “pusat kawalan dan arahan Hamas” di kawasan tersebut, namun tidak mengesahkan sama ada sasaran itu merupakan balai polis berkenaan.

Dalam satu lagi serangan maut, 12 mayat ditemui selepas rumah keluarga Hajj Ali di Jabalia turut dibom, menurut pertahanan awam.

Sebanyak 28 lagi dilaporkan terkorban dalam serangan di seluruh wilayah, menurut petugas perubatan dan pertahanan awam.

Serangan itu berlaku serentak dengan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh tentera Israel kepada penduduk di kawasan utara Beit Hanoun dan Sheikh Zayed.

“Akibat aktiviti keganasan dan tembakan penembak tepat ke atas tentera IDF di kawasan ini, IDF kini melancarkan operasi intensif,” kata jurucakap tentera dalam bahasa Arab, Avichay Adraee di platform X.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa peluasan arahan pemindahan oleh Israel di seluruh Gaza kini membawa kepada ‘pemindahan paksa’ rakyat Palestin ke kawasan yang semakin sempit.

Agensi-agensi bantuan menganggarkan bahawa majoriti daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan