MIRI, 25 April: Seramai 30 orang guru dari Miri dan Baram menyertai Bengkel Pensijilan Edu Pico anjuran TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) di sini, baru-baru ini.
TEGAS dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut bertujuan memperkasa para pendidik dengan kemahiran teknologi dan inovasi, sekali gus mendorong mereka untuk menerapkan pendekatan Pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam bilik darjah.
Pengurus Pembangunan Bakat TCIL, Sharon Teo memulakan bengkel dengan pengenalan mengenai peranan dan usaha TEGAS dalam memajukan bakat tempatan dalam bidang teknologi dan inovasi.
Bengkel turut membabitkan sesi praktikal yang dikendalikan oleh Jurulatih Teknologi TCIL, Sylvester Samuel, yang membimbing para peserta dalam pengaturcaraan asas Python serta penerokaan komponen Edu Pico seperti sensor gerakan, pengesan warna, buzzer dan potentiometer.
“Peserta turut diperkenalkan kepada projek inovatif seperti Tong Sampah Automatik dan Bilik Darjah Pintar yang berpotensi untuk diaplikasikan dalam konteks pembelajaran sebenar di sekolah,” kata kenyataan itu.
Menurut TEGAS, program ini diyakini mampu memberi inspirasi kepada guru untuk membimbing pelajar menghasilkan projek berasaskan teknologi serta menyertai pertandingan inovasi pada masa hadapan.
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat kami untuk menyemai minat dalam bidang STEM dan memupuk kreativiti serta daya inovasi dalam kalangan generasi muda,” kata TEGAS.