KUCHING, 24 April: Rantau ASEAN kini berada di ambang revolusi sektor pelancongan dengan seni dan budaya menjadi teras utama kepada pembangunan mampan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ASEAN mengalami pertumbuhan pesat bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga mengiktiraf kepentingan seni dan warisan budaya sebagai elemen utama yang mendorong pertumbuhan lebih inklusif dan seimbang.
“Pelancongan, seni dan budaya kini menjadi saluran utama untuk mendorong pertumbuhan inklusif, mencipta pekerjaan, memperkasakan komuniti dan memelihara tradisi.
“Daripada kraf tradisional hingga seni kontemporari dan warisan kulinari serta festival adat, kita adalah cerminan identiti dan sejarah bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sini, hari ini.
Mesyuarat ASCC yang berlangsung dari 22 hingga 26 April di Kuching merupakan mesyuarat peringkat menteri berjadual yang dianjurkan dua kali setahun untuk membincangkan isu utama sosiobudaya di rantau Asia Tenggara.
Mesyuarat dihadiri wakil dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Sehubungan itu, Tiong berkata, ASEAN kini berpeluang besar untuk menarik pelaburan dalam pelancongan berasaskan seni dan budaya dengan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara anggota dengan menawarkan pengalaman seni lebih mendalam dan mengintegrasikan penceritaan dalam setiap aspek pelancongan di rantau ini.
“Ke depan, ASEAN perlu terus memperbaharui komitmennya dalam berkerjasama, memandangkan dunia kini menghadapi cabaran global semakin mendalam.
“Krisis kesihatan awam, perubahan iklim yang mendesak, peralihan dalam landskap politik antarabangsa dan jurang ekonomi serta kesejahteraan sosial yang terus melebar memerlukan tindakan segera dan lebih terkoordinasi,” ujarnya.
Menurutnya, ASEAN dengan komitmen kukuh mampu menjadi contoh kawasan inklusif, mampan dan mengutamakan kesejahteraan bersama. -TVS