MIRI, 24 April: Kejohanan Lawan Pedang Belia Sarawak (B17) 2025 berjaya menghimpunkan 80 peserta dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Lebih menarik lagi, kejohanan tersebut turut menarik penyertaan dari negara luar seperti Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi pentas penting untuk menguji tahap keupayaan atlet muda dalam sukan lawan pedang tetapi memberi pendedahan awal kepada mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Saya berharap peserta khususnya yang berjaya meraih kemenangan akan terus berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai pemilihan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan dan seterusnya ke temasya Sukan Asia Tenggara (SEA Games) 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Lawan Pedang Belia Sarawak (B17) 2025 di MYY Mall, Miri, hari ini.
Kim Shin turut berharap jurulatih profesional dihantar ke pusat latihan lawan pedang bagi melatih atlet muda di kawasan utara Sarawak.
Menurutnya, selain di Miri, pusat latihan turut diwujudkan di Kuching dan Sibu sekali gus menunjukkan komitmen wilayah ini dalam pembangunan sukan lawan pedang.
“Saya berharap dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak, kita dapat menganjurkan lebih banyak program untuk mempromosikan sukan lawan pedang di Sarawak. Saya juga difahamkan kita kini mempunyai pusat latihan di Kuching, Sibu dan satu lagi di Miri,” ujarnya.
Sementara itu, Sarawak berjaya meraih satu pingat emas dan dua pingat perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. – TVS