KUCHING, 24 Apr: Sarawak komited untuk mengukuhkan hubungan dengan negara anggota ASEAN dalam usaha mencapai kemajuan seriring pembangunan global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen tersebut selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Kami (Sarawak) telah merangka dasar pembangunan pasca pandemik berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Selain itu, kami memberi penekanan kepada usaha memerangi perubahan iklim melalui tenaga boleh diperbaharui. Pada masa ini, kami sedang meneroka penggunaan hidrogen, mungkin ini adalah antara bidang yang sedang diberi perhatian oleh ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat ke-33 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif tenaga boleh diperbaharui tersebut dikenal pasti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penyumbang kepada negara-negara ASEAN.
“Pada masa ini, kami sedang membekalkan tenaga kepada jiran Indonesia, Sabah serta bekerjasama dengan kerajaan Brunei dan Singapura.
“Dengan kata lain, ini adalah sebahagian daripada perjanjian ASEAN. Itulah antara agenda kami. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa kami membekalkan tenaga kepada negara jiran.
“Sudah tentu, kita perlu memastikan keperluan mereka mencukupi tetapi pada masa sama kita juga perlu menjaga keperluan tenaga untuk diri sendiri,” ujarnya. -TVS