BETONG, 24 Apr: Sejumlah RM650,000 diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk menaik taraf jalan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh yang kini sudah siap sepenuhnya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan terus memberi fokus dalam menyediakan prasarana pendidikan terbaik untuk sekolah di wilayah ini termasuk di luar bandar.
“Pagi tadi saya melawat SMK Spaoh dan kita melalui BDDA meluluskan RM650,000 untuk kerja menaik taraf jalan dalam kawasan sekolah. Saya gembira ia siap dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Betong (MDB) di Betong pada Khamis.
Uggah turut memberitahu Betong bakal mempunyai pejabat daerah baharu.
Menurutnya, perkara tersebut sudah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan apabila siap kelak, ia menjadi mercu tanda baharu Daerah Betong.
“Betong akan membina pejabat daerah yang baharu dan saya sudah menyampaikannya kepada Premier,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya peranan ahli majlis sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampakan segala dasar serta program kerajaan. – TVS.