TAMPARULI, 24 Apr: Mayat seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu ditemui tersangkut di tepi sungai di Kampung Bahagia II di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf ditemui kira-kira jam 12.20 tengah hari pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi pencarian secara water rafting di sepanjang sungai berhampiran.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR yang memasuki hari kelima dimulakan seawal jam 8.35 pagi dengan kawasan pencarian diperluaskan merangkumi darat dan sungai menggunakan kaedah pencarian standard line double layer.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan 22 anggota dari BBP Tuaran, Unit K9, Unit STORM serta satu jentera FRT, EMRS, dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot aluminium.
Beberapa agensi lain turut terlibat termasuk PDRM (17 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (sembilan anggota), Jabatan Kebajikan Masyarakat (tiga anggota) serta 41 orang awam.
Terdahulu, BBP Tuaran menerima panggilan kecemasan pada 20 April lalu daripada PDRM Tamparuli berhubung kehilangan mangsa yang dilaporkan berada di kawasan belakang Pejabat Daerah Tamparuli.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 tengah hari.-TVS