Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Dr Richard Rapu pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS Betong pada Rabu. Foto TVS

Kampus tetap CENTEXS realisasikan Betong sebagai hab usahawan, tenaga mahir

BETONG, 24 April: Impian warga Betong untuk melihat daerah ini menjadi salah satu hab melahirkan usahawan dan tenaga mahir bakal terlaksana dengan penubuhan kampus tetap Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, ia juga akan menjadi satu mercu tanda dan legasi baharu kepada CENTEXS di Betong dalam melahirkan generasi berkemahiran dan berdaya saing di Sarawak dan Betong khususnya.

“Saya amat yakin bahawa impian dan hasrat kita untuk Betong sebagai salah satu hab bagi melahirkan usahawan dan tenaga kerja mahir akan tercapai tidak lama lagi,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS Cawangan Betong di sini pada Rabu.

Tambahnya, penubuhan kampus tetap CENTEXS di Betong akan memberi peluang kepada para belia untuk meneroka bidang kemahiran yang pelbagai, seterusnya membantu mereka merencana perjalanan karier di masa mendatang.

“Saya juga melihat ini selari dengan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepertimana terkandung dalam PCDS 2030 yang menginginkan Sarawak mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang TVET suatu hari nanti,” katanya.

Cadangan penubuhan kampus tetap CENTEXS di Betong telah diluluskan oleh Abang Johari semasa Program Ngabang Gawai peringkat Bahagian Betong pada tahun 2024.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2019, CENTEXS Betong telah berjaya melahirkan seramai 375 orang pelatih yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Bagi sesi pengambilan April 2025 yang dijangka bermula pada 28 April depan, CENTEXS Betong mensasarkan 76 orang pelatih yang akan mengikuti kursus ditawarkan.

CENTEXS Betong menawarkan lapan kursus merangkumi Kursus Asas Teknologi Fesyen, Elektrikal, Diploma Reka Bentuk Rambut dan Dandanan Muka, Masakan Komersial, Pengendorsan Hospitaliti, Bakeri, Kemahiran Pekerja Peladangan dan Kursus Pemasaran Digital.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan