KUALA LUMPUR, 24 April: Pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Myanmar merupakan manifestasi jelas komitmen Kerajaan Malaysia dalam memperkukuh hubungan serantau dan kerjasama kemanusiaan di bawah payung ASEAN.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar berkata, penghantaran bantuan kemanusiaan ini turut mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam menyokong rakan-rakan ASEAN, khususnya dalam situasi kecemasan seperti bencana alam.
Beliau turut memaklumkan bahawa hospital yang dijadualkan beroperasi selama sebulan itu akan dipanjangkan tempohnya sekiranya terdapat keperluan.
“Insya-Allah, tempoh operasi adalah untuk satu bulan. Jika diperlukan, mereka akan maklumkan semula kepada kami untuk dipertimbangkan sambungan operasinya.
“Pada mulanya, terdapat sedikit kelewatan kerana tidak mendapat diplomatic clearance, tetapi akhirnya ia diperoleh dan anggota telah selamat bertugas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM 2025 di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh memaklumkan bahawa operasi hospital medan yang kini memasuki hari ketiga berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan pihak kerajaan Myanmar.
“Selain pakar-pakar dari Malaysia, mereka turut membantu dengan menyediakan pakar perubatan tempatan termasuk pakar sakit puan serta sembilan orang penterjemah.
“Ini amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan secara teratur,” jelas beliau.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 13 pembedahan telah berjaya dijalankan, melibatkan kes pembedahan am dan ortopedik hasil kecederaan akibat gempa bumi yang melanda negara tersebut.
Beliau turut melaporkan bahawa moral serta semangat anggota perubatan yang bertugas di sana kekal tinggi meskipun berhadapan cuaca panas, berkat bantuan logistik dan sokongan daripada kerajaan Myanmar.
Majlis sambutan itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – TVS