KUCHING, 24 Apr: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas pelbagai spesis hidupan liar eksotik serta sarang burung walit dalam dua operasi berasingan di Kuching dan Bintulu, Isnin lalu.
Komander PPM Wilayah 5, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, dalam operasi pertama di Daerah Kuching, tiga individu tempatan ditahan di beberapa lokasi berasingan selepas pemeriksaan mendapati mereka memiliki pelbagai haiwan eksotik tanpa permit sah.
“Antara haiwan yang dirampas ialah tiga ekor Bearded Dragon, empat ekor Gecko berserta telur, 36 ekor tarantula, tiga ekor sugar glider dan tiga ekor kura-kura spesies Indian Star Tortoise,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam operasi kedua di Bintulu, seorang lelaki tempatan ditahan selepas pasukan serbuan menemui kira-kira 101.4 kilogram sarang burung walit yang disimpan di dalam peti sejuk beku.
Menurutnya, semua rampasan dibuat kerana disyaki tidak memiliki lesen atau permit pemilikan sah dan kes disiasat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM735,500,” ujarnya.
Ab Rahman turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram kepada pihak polis bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang berkaitan hidupan liar dapat dilaksanakan secara menyeluruh.-TVS