MATU, 24 Apr: Tinggal di kawasan luar bandar bukan alasan untuk dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu melakar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nurfahana Humaira Kamal dan Nur Alia Liana Hasuwadi masing-masing memperoleh 9A dan 8A dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini sekali gus mengharumkan nama sekolah luar bandar tersebut.
Nurfahana berkata, kejayaannya merupakan hasil usaha gigih, sokongan ibu bapa dan bimbingan guru yang tidak pernah jemu memberikan dorongan walaupun berdepan pelbagai kekangan.
“Saya menetapkan jadual ulang kaji konsisten setiap hari dan sentiasa bertanya dengan guru jika ada topik sukar difahami.
“Bagi saya, penggunaan Internet juga penting sebagai sumber maklumat tetapi sebagai pelajar kita perlu manfaatkan buku-buku teks dan nota sebagai rujukan utama.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang banyak memberikan tunjuk ajar. Jasa mereka tidak akan saya lupakan, ” katanya kepada TVS.
Nur Alia Liana pula berkata, beliau sering belajar secara berkumpulan bersama-sama rakan yang mempunyai matlamat sama untuk cemerlang.
Selain itu menurutnya, dia juga mengikuti kelas tambahan dianjurkan pihak sekolah walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Kampung Jemoreng.
“Bagi saya kejayaan hari ini bukan semata-mata kerana kesungguhan sebaliknya sokongan guru dan ibu bapa amat penting.
“Tidak dinafikan, sebagai pelajar kita perlu berkorban namun percayalah setiap pengorbanan itu berbaloi dan Alhamdulillah kini terbukti,” ujarnya.
Pengetua SMK Matu, Shariff Umar menzahirkan perasaan bangga dengan komitmen tinggi seluruh kakitangan akademi sekolah berkenaan.
“Kejayaan kedua-dua pelajar ini membuktikan pelajar luar bandar mampu bersaing jika diberikan peluang, sokongan moral dan pendedahan pendidikan secukupnya.
“Semangat dan keazaman guru serta pelajar di sini juga sangat luar biasa. Ia terbukti dengan prestasi dan pencapaian yang semakin baik dalam SPM,” jelasnya. -TVS