BAU, 24 April: Dua maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Jalan Serikin, simpang menuju ke Kampung Stass di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Zainuddin Ngatdemon berkata, dalam kejadian itu mangsa lelaki yang maut dikenali Nathaniel Joehensern Jiway Abdullah, 32, penumpang bahagian depan, manakala seorang penumpang wanita di bahagian belakang yang maut masih belum dikenal pasti identiti setakat ini.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.06 pagi dengan menggerakkan lima anggota BBP Bau ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan kenderaan Perodua Kancil dan sebuah lori.
“Terdapat empat mangsa keseluruhan iaitu tiga mangsa dalam Perodua Kancil tersepit manakala seorang mangsa dalam lori tidak tersepit serta berjaya keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit menggunakan ‘peralatan khas’ dalam jentera.
“Mangsa yang pertama berjaya dikeluarkan adalah seorang mangsa lelaki dewasa (cedera) iaitu pemandu kereta telah telah dikeluarkan dan dibawa ke oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Bau.
“Dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan KKM,” ujarnya.
Katanya, pemandu lori lelaki berusia 36 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu. – TVS