KUCHING, 24 April: Seorang lelaki warganegara asing diserahkan kepada polis selepas ditangkap orang awam kerana cuba mencuri motosikal di kawasan sebuah hotel di Jalan Setia Raja di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki berumur 40 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditangkap orang awam di kawasan sebuah pasar raya Tabuan Jaya.
“Melalui semakan CCTV suspek telah merosakkan dengan cara mengumpil tempat kunci motosikal namun gagal membawa lari motosikal tersebut.
“Kemudian suspek melarikan diri ke arah sebuah pasar raya berdekatan dan berjaya dikesan oleh pemilik motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular satu video memaparkan suspek berkenaan ditangkap orang awam.
Suspek diserahkan orang awam kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil soal siasat awal ke atas suspek mengaku terlibat dalam kes ini.
“Ujian saringan awal suspek didapati negatif dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga setengah tahun iaitu separuh daripada maksimum hukuman asal tujuh tahun dan/atau dikenakan denda dan juga di bawah Aeksyen 6(1)(c) Akta imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam sebatan. -TVS