KUCHING, 24 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuan untuk menerima pencalonan tunggal bagi lantikan sebagai Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi tempoh 2025-2028.
Sambil menzahirkan rasa rendah hati, beliau ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli PERKIM atas sokongan mereka kepada beliau untuk menerajui PERKIM untuk tempoh masa tersebut.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyandang Yang Dipertua PERKIM atas jasa dan bakti beliau selama memimpin PERKIM sejak 2006,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Johari turut menyatakan iltizamnya akan meneruskan usaha Tun Dr Mahathir sebaik mungkin untuk mencapai hasrat dan dasar para tokoh pengasas PERKIM, khususnya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam usaha menjaga kebajikan umat Islam.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga penyandang Naib YDP PERKIM dan Datuk Ustaz Mohd Nakhaei Ahmad yang telah menarik diri daripada pencalonan dan menyatakan sokongan mereka kepada saya untuk dilantik sebagai Yang Dipertua,” katanya.