KUCHING, 24 April: Seramai 800 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 atas beberapa faktor yang didedahkan Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli.
Menurutnya, antara faktor dikenal pasti sebagai punca calon gagal menduduki peperiksaan tersebut adalah kerana bekerja bagi membantu kewangan keluarga selain berdepan masalah kesihatan.
“Saya dapat maklumat, ada guru pergi ke rumah, pergi ke tempat kerja calon. Ada calon yang berkerja di stesen minyak, pun cikgu pergi ke tempat mereka (untuk memujuk) kembali ke sekolah untuk menduduki peperiksaan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2024 di sini, hari ini.
Ditanya apakah langkah lain dalam menangani isu keciciran calon SPM pada masa akan datang, Omar memaklumkan bahawa pihak JPN Sarawak kini merancang satu pendekatan baharu.
“Kita akan mengesan mereka (pelajar) seawal dari tingkatan satu lagi. Berdasarkan tren ketidakhadiran (ke sekolah) ini, kita akan terus menjalankan program intervensi dan kita akan melancarkan program yang sama di semua sekolah
“Kita minta pihak sekolah menganalisis persekitaran sekolah masing-masing apakah yang menyumbang ketidakhadiran murid itu,” katanya.
Melalui program intervensi itu, pihak sekolah akan mengunjungi pelajar yang kurang menunjukkan minat untuk hadir ke sekolah serta mengadakan perbincangan bersama ibu bapa pelajar terbabit.
Menurutnya, turut diadakan program bimbingan dan kaunseling untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan pendidikan pada masa hadapan.