SANDAKAN, 24 April: Dalam tempoh sebulan, polis di sini berjaya menahan 152 individu dan merampas pelbagai jenis dadah serta aset bernilai lebih RM350,000 menerusi operasi khas yang menyasarkan kawasan panas di daerah ini.
Operasi berkenaan, dinamakan Op Tapis Khas Pemutihan, dijalankan dari 20 Mac hingga 20 April lalu dengan penglibatan 15 pasukan taktikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di 10 lokasi berisiko tinggi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, semua tangkapan disiasat mengikut pelbagai peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya termasuk Seksyen 39B, 39A(1), 15(1)(a) dan 12(2).
“Antara dadah yang dirampas termasuk lebih 1.3 kilogram syabu, serbuk dan pil ekstasi, ketamin, serta 235 mililiter cecair mengandungi dadah yang dikenali sebagai ‘vape mushroom’,” katanya pada sidang media hari ini.
Turut dirampas ialah lima kenderaan, barangan kemas dan wang tunai, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dan rampasan mencecah lebih RM350,000.
Menurut Ahsmon, 15 peratus daripada tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam.
“Saya menyeru kepada semua warga di daerah Sandakan ini yang masih sayangkan bangsa, negara dan Sandakan ini untuk memberikan maklumat kepada pihak polis.
“Apa sahaja elemen kegiatan dadah yang kamu lihat, yang kamu dengar. Kita memberikan jaminan, identiti pemberi maklumat tidak akan sekali-sekali dibocorkan. Itu komitmen kita,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), imbasan kod QR yang dikongsi melalui media sosial rasmi IPD Sandakan, atau dengan terus berjumpa pegawai polis.
Sejak tahun 2023 sehingga Mac lalu, seramai 4,167 individu telah ditahan di Sandakan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan purata lima tangkapan setiap hari.
Pihak polis turut giat memburu beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di daerah berkenaan. – TVS