KUCHING, 23 April: Usahawan disaran bergiat menguasai pelbagai platform digital bagi mengembangkan potensi pasaran produk mereka ke peringkat yang lebih besar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, para usahawan perlu bersedia untuk memanfaatkan kemajuan teknologi, terutamanya dengan mengadaptasi platform digital bagi memudahkan pengoperasian harian mereka.
“Dari segi pembangunan kapasiti, kita ingin memudahkan para usahawan untuk memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat serta mengadaptasi penggunaan platform digital dalam operasi harian mereka.
“Usaha ini juga merangkumi peningkatan kemahiran dan kecekapan dalam kalangan usahawan agar mereka lebih bersedia menghadapi perubahan pasaran,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat SEDCC Bilangan Satu Tahun 2025 di Kuching, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berkata, dalam dunia perniagaan yang pantas berubah, usahawan perlu berani berkembang bagi memastikan daya tahan serta daya saing mereka terus kukuh dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.
“Selain itu, kita turut memberi fokus kepada usaha mempromosikan dan memasarkan produk-produk tempatan secara lebih meluas dan berkesan. Banyak peluang boleh dimanfaatkan menerusi pendekatan digital, memandangkan landskap perniagaan kini telah banyak berubah,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sarawak untuk memastikan usahawan tempata termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus relevan dan mampu berkembang selaras dengan keperluan semasa.-TVS