KOTA SAMARAHAN, 23 April: Taman Tasik Desa Ilmu bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja menaik taraf tasik berkenaan yang menelan kos sebanyak RM6.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, sudah sekian lama impian beliau mahu menjadikan kawasan Taman Tasik Desa Ilmu sebagai sebuah lokasi yang lebih komprehensif dan mesra pengguna.
“Projek menaik taraf tasik ini telah bermula sejak November 2024 dan setakat ini telah mencapai tahap 22.43 peratus siap.
“Semoga kerja-kerja perlaksanaan projek ini berjalan lancar dan dapat dibuka semula kepada orang ramai demi manfaat bersama,” katanya.
Menjelas lanjut, katanya, Taman Tasik Desa Ilmu bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, tandas awam serta laluan joging yang lebih selesa dan kondusif.
“Sebuah jambatan kecil akan turut dibina untuk menghubungkan tasik ini, saya yakin ia bakal menjadi salah satu tarikan utama kepada para pengunjung kelak.
“Setelah melalui beberapa siri perbincangan dan kajian, projek ini akhirnya berjaya diluluskan di bawah peruntukan Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA),” ujarnya.
Beliau berkata, projek berkenaan diselia dan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). -TVS