Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Dato Hilmy Othman (kiri) ditemui pada Program Jom Membaca 10 Minit di Kuching pada Rabu. Foto TVS

Semai amalan membaca lahirkan pemikir kritis, analitik

KUCHING, 23 April: Pemikiran yang analitik, kritis selain berpandangan luas akan terbentuk melalui amalan membaca, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sharifah Hasidah berkata amalan membaca bukan sahaja akan meningkatkan ilmu pengetahuan, malah menjadi rencah untuk membentuk intelek warga yang akhirnya akan menjadikan negeri ini sebuah wilayah yang pintar, progresif dan dinamik.

“Kalau kita mahu menjadi satu bangsa yang berjaya dan menjadikan Sarawak ini sebuah negeri yang berjaya, kita perlukan masyarakat kita yang suka membaca serta membudayakan amalan membaca,” katanya.

“Justeru, program hari ini amat penting kerana ia mengajak kita untuk membaca, dan program ini meminta kita untuk membaca apa jua bahan bacaan selama 10 minit sahaja,” katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Membaca 10 Minit anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah di Kuching pada Rabu.

Sementara Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman pula berkata, mencipta dan mengekalkan budaya membaca merupakan satu cabaran kerana peranti elektronik dan media sosial mendominasi kehidupan pada masa kini.

Namun, beliau menyarankan untuk melihat sisi positif perkembangan teknologi ini dan menerapkannya dalam budaya membaca.

“Sekarang bahan bacaan boleh diperoleh dengan mudah menerusi peranti ataupun telefon pintar kita. Walaupun telefon kita ini banyak kegunaannya, saya sarankan agar ia turut digunakan untuk kita mencari bahan-bahan bacaan,” ujarnya.

Antara pengisian Program Jom Membaca 10 Minit DBKU dan Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah termasuklah Pertandingan Bacaan Kegemaran Saya, Pertandingan Sudut Bacaan Kreatif dan inisiatif Perpustakaan Komuniti Aktif.

Untuk rekod, sehingga suku terakhir tahun 2024, hasil laporan Kajian Profi l Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus dan diharap menerusi program sebegini, ia akan dapat meningkatkan lagi minat membaca di kalangan warga, terutama generasi muda.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan