KUCHING, 23 April: Usaha menyantuni serta memperkasakan dakwah Islam yang merangkumi aspek sosial, pendidikan dan kebajikan menjadi antara fokus utama penganjuran Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 1446H/2025M di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara MIS dan DUN Pantai Damai dalam merealisasikan matlamat Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak 2021–2030.
“Majlis Islam Sarawak sebagai agensi utama dalam memperkasa pembangunan Islam di negeri ini sentiasa komited untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan jangkauan komuniti.
“Melalui Ziarah Mahabbah, MIS dapat menyantuni rakyat, mendengar permasalahan mereka serta memahami harapan masyarakat terhadap institusi agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Ziarah Mahabbah MIS 1446H/2025M di sini, hari ini.
Beliau berkata, program yang bermula sejak Februari lalu bukan sahaja membuka ruang untuk memahami keperluan sebenar masyarakat, malah menjadi platform penting dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi Islam di Sarawak.
Majlis penangguhan itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, dan disertai lebih 500 tetamu.