PUTRAJAYA, 23 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal baharu, bertujuan menangani isu harga serta bekalan barangan keperluan harian rakyat secara lebih strategik dan berterusan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian itu akan memperkasa bentuk kerjasama merentas kementerian yang lebih tersusun dan dijalankan secara berkala.
Jelasnya, jawatankuasa terbabit merupakan satu penambahbaikan kepada mekanisme sedia ada yang sebelum ini dilaksanakan secara ad hoc, khususnya ketika berlakunya gangguan bekalan atau menjelang musim perayaan.
“Ia adalah sebagai bentuk usaha penambahbaikan kepada mekanisme sedia ada. Sebelum ini kita ada kerjasama merentasi kementerian yang dilaksanakan secara ad hoc, apabila wujudnya sesuatu isu ataupun menjelang musim perayaan, untuk kita tangani isu-isu terkait.
“Tahun ini, kita dapat membendung elemen-elemen yang mengganggu bekalan dan juga penstabilan harga tersebut, namun KPDN mahu supaya ia dapat diteruskan dan ditambah baik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di Putrajaya, hari ini.
Armizan memaklumkan jawatankuasa itu juga akan berfungsi sebagai mekanisme amaran awal bagi memastikan isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.
Katanya, jawatankuasa itu turut bertindak menyelaras tindakan pantas dalam memastikan kestabilan harga dan keberadaan bekalan barangan keperluan di pasaran, termasuk barangan seperti ayam, telur, daging, ikan, beras, minyak masak dan sayur-sayuran.
Jelasnya lagi, Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian itu akan bersidang setiap dua bulan, dan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada Mei ini. – TVS