KUCHING, 23 April: Kemajuan Sarawak dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi alga mula menarik perhatian antarabangsa apabila beberapa negara luar mengakui pencapaian negeri itu dalam bidang berkenaan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau mendedahkan bahawa ahli-ahli Parlimen dan Duta Besar dari beberapa negara Eropah termasuk Norway, Switzerland, Iceland dan Belanda melahirkan rasa terkejut dengan tahap kemajuan teknologi alga di Sarawak, yang dilihat melebihi pencapaian beberapa negara maju.
“Mereka memaklumkan bahawa teknologi lumut kita kini lebih maju berbanding di Norway, walaupun negara itu terkenal sebagai salah satu pengeluar utama lumut di dunia.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini pada Rabu.
Tambah beliau, penyelidikan berterusan terhadap alga yang berpotensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan membuka peluang besar kepada Sarawak untuk menerajui pembangunan sumber tenaga alternatif utama di peringkat global.
“Oleh itu, kita perlu memastikan anak-anak Sarawak dilengkapi dengan pendidikan dan latihan moden supaya mereka mampu menguasai bidang-bidang strategik baharu.
“Sekali gus memacu pembangunan negeri ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – TVS