Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
JPJ Sarawak giat melaksanakan pemeriksaan ke atas kenderaan milik anggota dan kakitangannya di semua cawangan negeri bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan.

JPJ Sarawak periksa kenderaan anggota

SIBU, 23 April: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak giat melaksanakan pemeriksaan ke atas kenderaan milik anggota dan kakitangannya di semua cawangan negeri bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan.

Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Nor Azlan Ibrahim berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan kenderaan anggota dan kakitangan sebagai contoh terbaik kepada masyarakat dalam aspek pematuhan peraturan serta keselamatan jalan raya.

“Kita mahu anggota dan kakitangan menjadi rujukan kepada orang awam. Oleh itu, semua kenderaan mereka perlu patuh kepada peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (KKPJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemilik kenderaan di Sarawak digalakkan hadir ke cawangan JPJ berdekatan bagi mendapatkan maklumat sah berkaitan pengubahsuaian yang dibenarkan undang-undang.

Terdahulu, beliau menyertai Operasi Pengarah JPJ Bil. 5/2025 yang dijalankan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini bersama Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak Saifullah Ali.

Nor Azlan menjelaskan bahawa pemeriksaan dalaman itu telah dilaksanakan sejak tahun lepas dan mana-mana kenderaan anggota yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan notis temu siasat dan berdepan tindakan saman sekiranya terus ingkar.

“Tindakan ini adalah peringatan awal. Jika masih tidak patuh selepas ini, kita akan teruskan dengan tindakan lebih tegas tanpa sebarang amaran,” tegasnya.

Menurut Nor Azlan sebagai jabatan penguat kuasa undang-undang jalan raya, JPJ tidak akan berkompromi dengan pelanggaran peraturan oleh warganya sendiri.

Beliau turut menyeru orang awam agar sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya termasuk aspek keselamatan dan pengubahsuaian kenderaan, bagi memastikan persekitaran jalan raya di Sarawak kekal selamat dan kondusif. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan