CYBERJAYA, 23 April: Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berlangsung di Menara Hasil di sini, hari ini.
Hui Ying yang tiba sekitar jam 12:30 tengah hari disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, pada majlis itu.
Majlis tersebut, yang dihadiri kira-kira 500 warga kerja LHDN, turut meraikan asnaf dan anak-anak yatim dari beberapa rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang.
Pada majlis itu, Hui Ying mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada beberapa organisasi kebajikan di seluruh negara.
Anwar, yang pada awalnya dijadualkan hadir pada majlis itu, tidak dapat berbuat demikian akibat urusan penting di saat akhir.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim, dan beberapa lagi kepimpinan tertinggi badan kerajaan itu. – TVS