KUCHING, 23 April: Gerakan koperasi di Sarawak terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan jumlah perolehan keseluruhan sebanyak RM411.48 juta pada tahun 2024, berbanding RM368.97 juta pada 2023.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding perolehan pada 2023.
“Sebanyak 1,213 koperasi didaftarkan di Sarawak dengan jumlah keanggotaan melebihi 320,000 orang,” katanya ketika ditemuai media selepas Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sarawak bertempat di sini, hari ini.
Sementara itu, di peringkat nasional katanya, sebanyak16,284 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keanggotaan mencecah 7.21 juta orang.
Nilai perolehan koperasi di seluruh Malaysia yang dicatat sehingga Desember 2024 ialah sebanyak RM68.18 bilion.
Awang Tengah menjelaskan bahawa mesyuarat MPKN ini bertujuan menilai perkembangan terkini gerakan koperasi serta menjadi platform perbincangan strategik untuk mencadangkan penambahbaikan bagi memajukan sektor koperasi di Sarawak.
Antara fokus utama yang dibincangkan termasuklah Status Gerakan Koperasi Negeri Sarawak 202 oleh SKM Cawangan Negeri Sarawak, Program Pembangunan Modal Insan oleh IKMA Zon Sarawak, Pembangunan Sektor Loperasi oleh ANGKASA, serta kerjasama strategik bersama SEDC Energy untuk membangunkan peluang perniagaan seperti stesen minyak.