KUCHING, 23 April: Sarawak bakal menganjurkan sebuah Forum Antarabangsa Kanak-Kanak menjelang penghujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan negeri ini lebih mesra kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, forum tersebut merupakan antara inisiatif penting ke arah menjadikan beberapa bandar di Sarawak sebagai mesra kanak-kanak.

“Petaling Jaya di Selangor merupakan bandar pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai bandar mesra kanak-kanak. Kita di Sarawak bukan sahaja mahu mengikuti jejak itu, malah berhasrat untuk melangkaui pencapaian tersebut.
“Kita mempunyai cita-cita yang tinggi, bukan satu, dua, tiga atau empat, tetapi lima bandar yang kita sasarkan untuk menerima pengiktirafan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena lawatan Women Parliamentarians of ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (WAIPA) ke Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di sini, hari ini.
Fatimah turut memaklumkan bahawa Sarawak kini bekerjasama rapat dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam merealisasikan matlamat ini.
“Forum ini nanti turut melibatkan penyertaan wakil kanak-kanak yang mewakili majlis perbandaran masing-masing dari negara-negara ASEAN. Kita mahu belajar daripada mereka, dan lebih penting, kita mahu mendengar suara mereka,” jelasnya.