KUDAT, 23 April: Cubaan menyeludup makanan eksotik melibatkan spesies haiwan terancam dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam satu operasi khas di perairan Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar dalam kenyataan berkata kejayaan itu hasil risikan Unit Perisikan Maritim Malaysia yang mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan Selat Malawali sekitar pukul 2 pagi.
Beliau berkata Bot Peronda KILAT 48 yang digerakkan ke lokasi telah mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap kira-kira 1.8 batu nautika dari barat laut Tanjung Layang-layang, Pitas sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada individu di atas bot terbabit namun penemuan mengejutkan adalah 20 kotak polisterin berisi kima beku seberat 500 kilogram, lapan guni kima kering seberat lebih 200 kilogram dan lima kotak polisterin mengandungi tenggiling beku seberat kira-kira 100 kilogram,” katanya.
Tambahnya, semua barangan rampasan dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan produk haiwan liar, dengan nilai anggaran keseluruhan melebihi RM100,000.
Bot bersama muatan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim dan orang awam supaya menyalurkan maklumat jenayah maritim melalui talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. –TVS