Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Peter Cklamovski ditemui pemberita pada majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 MFL-FAM-AFL di Wisma FAM hari ini. Foto Bernama

Cklamovski yakin Harimau Malaya mampu hapus badi Vietnam

ByBernama

PETALING JAYA, 23 April: Pengendali skuad kebangsaan Peter Cklamovski yakin pasukannya memiliki keupayaan mengecewakan Vietnam dalam aksi penting Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun depan.

Sambil mengakui kehebatan pasukan Vietnam, jurulatih dari Australia itu berkata dengan persiapan rapi serta kemantapan mental yang kuat, tidak mustahil Harimau Malaya boleh menamatkan badi kekalahan di tangan pasukan Naga Emas itu.

“Bukan mudah untuk kalahkan Vietnam tapi ia tidak mustahil. Kami akan berikan segalanya untuk mencapainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) di Wisma FAM di sini hari ini.

Cklamovski berkata kem latihan pusat yang dijadualkan bermula 16 Mei ini akan menjadi fasa penting bagi membolehkan para pemain mendapatkan semula kecergasan selepas melalui musim liga yang panjang, selain mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan berintensiti tinggi.

“Kami akan memasuki kem latihan dengan tumpuan sepenuhnya, bersemangat tinggi dan bersedia membuat rakyat Malaysia bangga sekali lagi melalui cara permainan serta usaha gigih kami untuk meraih keputusan positif.

“Adalah penting untuk kami membuat persiapan rapi kerana pemain akan melalui tempoh rehat luar musim. Mereka akan mempunyai masa untuk kembali segar dan selepas itu kami akan memasuki kem latihan, menyusun strategi dengan teratur dan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan sengit menentang pasukan yang kuat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan sedang diatur untuk mengadakan satu atau dua perlawanan persahabatan di tempat sendiri bagi membantu pasukan mendapatkan rentak permainan sebelum menghadapi aksi kelayakan itu.

Malaysia tewas lima perlawanan menentang Vietnam dalam semua kejohanan termasuk pertemuan terkini yang berakhir dengan kekalahan 3-0 pada saingan peringkat kumpulan Piala ASEAN 2022 (sebelum ini dikenali Piala AFF).

Skuad bimbingan Cklamovski menghuni tangga kedua Kumpulan F selepas satu perlawanan, berkongsi tiga mata dengan Vietnam di tangga teratas manakala Nepal dan Laos masih di tangga bawah tanpa sebarang mata. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan