KUALA LUMPUR, 23 April: Bank Rakyat hari ini melancarkan produk terbaharunya, Akaun-i eGold, iaitu sebuah platform pelaburan emas digital patuh syariah yang membolehkan pelanggan membeli dan menjual emas dengan mudah serta selamat menerusi perkhidmatan perbankan internet iRakyat.
Menurut Bank Rakyat dalam satu kenyataan, Akaun-i eGold membolehkan pelanggan memiliki emas berkualiti 999.9 yang diiktiraf oleh London Bullion Market Association (LBMA), dengan pelaburan serendah RM10.
Selain itu, pelanggan boleh melakukan transaksi jual beli emas pada harga masa sebenar serta menikmati perbezaan harga belian dan jualan yang lebih kompetitif.
“Akaun-i eGold merupakan platform patuh syariah yang menawarkan peluang pelaburan emas yang dipercayai dan terjamin, sejajar dengan prinsip kewangan Islam serta disokong oleh pelaburan bersandarkan emas fizikal.
“Selain memudahkan orang ramai memiliki emas pada harga permulaan yang mampu milik, produk ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Bank dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam urus niaga emas, termasuk membeli, menjual dan menukar pelaburan emas digital kepada emas fizikal bagi mencapai matlamat kewangan dengan mudah,” menurut kenyataan itu.
Lebih menarik, pelanggan juga boleh menukar baki emas dalam Akaun-i eGold kepada emas fizikal dengan pilihan denominasi antara 0.5 gram hingga 100 gram.
Emas fizikal ini akan dihantar terus ke alamat pilihan pelanggan melalui perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh Bank Rakyat.
Pengenalan Akaun-i eGold turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk membantu pelanggan mempelbagaikan aset kewangan mereka, dengan menambah emas sebagai alternatif pelaburan atau sebagai simpanan jangka panjang yang fleksibel.
Untuk memulakan pelaburan melalui Akaun-i eGold, pelanggan hanya perlu mempunyai Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i atau Akaun Pelaburan-i Bank Rakyat serta akses kepada perkhidmatan perbankan internet iRakyat. Kemudahan ini terbuka kepada individu berumur 13 tahun ke atas yang memenuhi syarat kelayakan.
Orang ramai yang berminat atau ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai produk ini boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300 80 5454, mengunjungi cawangan terdekat, atau mengikuti media sosial rasmi @mybankrakyat. – TVS