KUCHING, 23 April: Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 di Kuala Lumpur, malam ini.
Jurulatih berpengalaman dari Singapura itu mengetepikan dua calon lain iaitu pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, dan jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito, untuk merangkul anugerah berprestij tersebut.
Pengiktirafan ini diberikan sebagai penghargaan terhadap kejayaan luar biasa Aidil dalam membawa perubahan besar kepada prestasi Kuching City FC sejak dilantik pada Ogos 2023.
Mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti, Aidil berjaya membentuk pasukan Kuching City menjadi sebuah pasukan yang lebih kompetitif dan berdisiplin di pentas Liga Super Malaysia.
Di bawah kendalian beliau, Kuching City FC menamatkan saingan Liga Super musim 2024/2025 di kedudukan keempat dengan mengumpul 39 mata, hanya satu mata di belakang Sabah FC yang menduduki tempat ketiga.
Pencapaian itu dianggap luar biasa memandangkan Kuching City FC sebelum ini sering bergelut untuk kekal dalam kelompok pertengahan liga.
Aidil Sharin kini dilihat sebagai antara jurulatih paling berwibawa dalam bola sepak Malaysia, dengan pendekatan taktikal moden dan kepimpinan yang berjaya mengangkat potensi anak-anak buahnya ke tahap terbaik. -TVS