SANDAKAN, 23 April: Sebanyak 21 rumah dan sebuah stor musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Putih Jambatan 3, dekat Batu 7 di sini pagi tadi, mengakibatkan dua individu cedera termasuk seorang kanak-kanak dan seorang warga emas.
Ketua Zon Bomba Sandakan Jasri Ab Jal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.40 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi pada 10.58 pagi.
“Kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal yang dibina rapat, menyebabkan api merebak dengan cepat. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.41 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas kira-kira tiga ekar namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 50 rumah berhampiran serta tiga buah bot.
Menurut Jasri, operasi pemadaman melibatkan penggunaan tiga salur bantu, enam nozel serta sumber air daripada jentera bomba, pili bomba berdekatan dan laut.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Keselamatan Dalam Negeri Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, DSP Sham Osman berkata, dua mangsa cedera akibat kebakaran tersebut diberikan rawatan segera oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa, seorang kanak-kanak dan seorang warga emas, mengalami luka melecur ringan. Semua mangsa yang terjejas akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Batu Putih,” katanya.
Operasi menyelamat turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan beberapa agensi lain.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan – TVS