PUTRAJAYA, 22 April: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Helang Samudera: Perisai Maritim’, yang diterbitkan bersempena ulang tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Buku itu menggambarkan dedikasi Maritim Malaysia sebagai antara agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Majlis turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Sementara itu Saifuddin Nasution berkata, penerbitan itu merupakan satu penghormatan besar buat wira maritim negara yang selama dua dekad mempertaruhkan keselamatan diri demi kedaulatan perairan negara.
“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi memaparkan keberanian, kecekalan dam dedikasi anggota Maritim Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dilaporkan, Maritim Malaysia bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye, Mullti Purpose Mission Ship (MPMS) yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027.
Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta mempunyai, ruang pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memuktamadkan proses perolehan empat helikopter bernilai RM600 juta bagi Maritim Malaysia.
Buku setebal 180 muka surat itu diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara memerihalkan naratif visual berkualiti tinggi dan cerita operasi sebenar yang tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum. -TVS.