SIBU, 22 April: Sekolah persendirian Cina di Sarawak merupakan komponen penting dalam ekosistem pendidikan negeri dan tidak akan dipinggirkan, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, matlamat utama pendidikan adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dalam kalangan generasi muda negeri ini tanpa mengira bahasa pengantar mahupun kaedah penyampaian yang digunakan.
“Kita mungkin datang daripada latar belakang berbeza, sistem persekolahan yang berbeza dan kerangka operasi yang berbeza, namun kita semua berkongsi matlamat yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Town Hall bersama Sekolah Persendirian Cina Sarawak, di sini, hari ini.
Roland berkata, beliau menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi sekolah-sekolah persendirian berkenaan, termasuk isu kewangan, latihan guru, integrasi kurikulum serta pengiktirafan kelayakan.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa mendengar dan prihatin terhadap isu-isu berkenaan.
“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat akan terus meneroka ruang kerjasama dan sokongan bagi membina kapasiti bersama demi manfaat pelajar,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama yang inklusif dan berterusan antara kerajaan negeri dan pihak sekolah persendirian.
“Sekolah-sekolah ini bukan sahaja membawa warisan budaya yang kaya, malah mempunyai visi yang jauh ke hadapan. Mereka berdiri sebagai tunjang dalam pemeliharaan budaya, di samping memupuk kecemerlangan akademik dan pembangunan holistik.
“Sumbangan anda, terutamanya dalam melahirkan pelajar cemerlang yang berjaya dalam pelbagai sektor, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, membuktikan kekuatan serta kepentingan institusi-institusi ini,” katanya.