Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang pemandu lori terlepas hukuman gantung selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bapanya tanpa niat pada 2023. Foto hiasan Envato

Sebabkan kematian: Pemandu lori terlepas hukuman gantung, dipenjara tiga tahun

ByBernama

SEREMBAN, 22 April: Seorang pemandu lori terlepas hukuman gantung selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bapanya tanpa niat pada 2023.

Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap K P Niruben, 28, bermula dari tarikh tangkap pada 5 Ogos 2023, setelah mengambil kira fakta pemberat dan rayuan mitigasi dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Kamu (tertuduh) boleh bersabar, kalau ada apa-apa jangan membuat tindakan melulu seperti itu, kamu bernasib baik kerana kes tidak diteruskan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum gantung sampai mati, jadi hati-hati,” katanya.

Niruben sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, perlu juga dikenakan sebat tidak kurang 12 kali, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian terhadap K K Paramasivan, 51, dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 12.20 tengah malam hingga 1.10 pagi di sebuah rumah di Kota Lukut, Port Dickson pada 5 Ogos 2023.

Terdahulu, peguam S Paul Krishnaraja yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum, mengambil kira tertuduh merupakan pemandu lori dan terpaksa menjaga ibu dan adik selain telah insaf semasa berada dalam tempoh reman.

“Mangsa merupakan bapa tertuduh dan pada hari kejadian, mangsa dalam keadaan amat mabuk dan telah bergaduh dengan ibu tertuduh, selain menggunakan kata-kata kesat yang kejadian itu sering berlaku, tertuduh cuba menghentikan perkara itu.

“Mangsa yang memulakan pergaduhan menggunakan kayu dan barang lain terhadap tertuduh, akibat perbuatan itu, tertuduh mengalami kecederaan di bahagian kepala, jadi berdasarkan fakta kes, semua berpunca daripada tindakan mangsa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang panjang, bagi memberi pengajaran dan melindungi masyarakat berikutan kesalahan dilakukan melibatkan kehilangan nyawa.

“Pengakuan salah tertuduh tidak memberikan kewajiban kepada mahkamah untuk memberi pengurangan hukuman, ia perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh. Tiada siapa boleh mengambil tindakan di luar undang-undang untuk menghilangkan nyawa seseorang,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan