KUCHING, 22 April: Sarawak terus mengorak langkah sebagai negeri peneraju dalam pembangunan mampan dengan pelancaran Dasar dan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak yang menekankan perlindungan, pemulihan dan penggunaan sumber semula jadi secara lestari.
Usaha ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam usaha memperkukuh dasar pembangunan berasaskan alam semula jadi.
Menurut wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Virkic, pelan induk ini membuktikan kesungguhan Sarawak dalam menterjemahkan komitmen kepada tindakan konkrit, selaras dengan aspirasi untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan pemeliharaan ekosistem.
“Pelan induk ini mencerminkan visi jangka masa panjang Sarawak bahawa pembangunan ekonomi tidak semestinya berlaku dengan mengorbankan sumber asli.
“Ia adalah pendekatan menyeluruh yang mengangkat pemuliharaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata, UNDP berbangga menjadi sebahagian daripada pelaksanaan dasar tersebut yang turut merangkumi pemuliharaan habitat, pertanian regeneratif dan pengurusan sumber berasaskan nilai ekosistem.
“Pelaburan dalam penyelesaian berasaskan alam bukan sahaja memberikan manfaat kepada biodiversiti, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” ujar Virkic.
Menurut beliau, usaha Sarawak turut mendapat pengiktirafan menerusi program seperti Program Hidupan Liar Global UNDP yang memberi fokus kepada perlindungan spesies ikonik seperti Orangutan Borneo dan habitatnya.
“Pendekatan holistik yang diambil bukan sekadar melindungi spesies, tetapi juga menangani punca utama ancaman seperti perdagangan haram dan degradasi habitat,” jelasnya.
UNDP turut menegaskan komitmennya dalam menyokong pelaksanaan dasar dan pelan induk biodiversiti ini melalui penglibatan jangka panjang termasuk kehadiran petugas tetap di Kuching.
“Dengan sokongan pentadbiran negeri dan kerjasama bersama MUDeNR, kami dapat memahami konteks tempatan dan bertindak lebih efektif dalam menyokong pelaksanaan dasar yang bersesuaian,” katanya.
Sejak lima tahun lalu, UNDP telah menyalurkan dana sebanyak USD 2.3 juta untuk pelbagai projek pembangunan di Sarawak termasuk dalam bidang biodiversiti, selain membantu meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam dan pembangunan dasar secara bersepadu. – TVS