KUCHING, 22 April: Program Alam Sekitar anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) berupaya melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas serta kritis terutama dalam menghayati kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Menurut Wayne Fong, 18, menyifatkan program itu merupakan inisiatif yang amat berkesan bukan sahaja kepada dirinya, malah rakan-rakan seangkatannya untuk lebih menghargai kepentingan flora, fauna serta ekosistem alam sekitar secara holistik.

“Saya merasakan generasi muda akan lebih peka akan kepentingan alam sekitar, seiring dengan arus pemodenan masa kini dan saya berharap agar program ini dapat diteruskan di masa hadapan kerana masyarakat kita memerlukan pemahaman yang lebih mendalam terhadap alam sekitar kita ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Alam Sekitar MBKS sempena Hari Bumi Sedunia 2025 di Kuching pada Selasa.
Sementara bagi Eileen Yeo, 19, pula, pendedahan serta ilmu yang diperoleh daripada menyertai program ini, akan turut dikongsi bersama-sama rakan-rakan yang lain, malah ahli keluarganya tentang perlunya menjaga alam sekitar agar ia bebas daripada sebarang bentuk pencemaran sama ada pencemaran air, udara mahupun di daratan.

“Saya berharap program sebegini akan diteruskan kerana ia amat membantu dalam memberi pengetahuan serta kesedaran tentang cara penjagaan alam sekitar,” ujarnya.
Senada dengan rakan sebayanya, Amanda Toh, 18, berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dalam masa mendatang agar lebih ramai lagi golongan muda sepertinya terus cakna akan isu-isu berkaitan alam sekitar ini.

“Program sebegini amat baik kerana ia dapat mendidik kami tentang alam sekitar, serta langkah untuk melindungi serta memastikan kebersihan persekitaran kita, kerana ada sesetengah kita kurang arif tentang cara untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih,” katanya.-TVS