PUTRAJAYA, 22 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan satu mesyuarat khas Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif timbal balik terhadap Malaysia.
Jelas Anwar, mesyuarat itu yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei depan.
Kata beliau ini bagi membolehkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan isu tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada awal bulan ini.
“Iya ada, ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said
Terdahulu, akhbar Sin Chew Daily pagi ini melaporkan bahawa Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan notis berkenaan sidang khas berkenaan.
​
Setakat ini, difahamkan ahli-ahli Parlimen masih belum menerima surat rasmi mengenai mesyuarat tersebut.​
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Washington, D.C. pada 24 April ini bagi membincangkan isu tarif balas yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.​
Tengku Zafrul menegaskan bahawa lawatan itu bukan untuk tujuan rundingan, tetapi untuk membincangkan bagaimana Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan antara Asia dan Amerika Syarikat.​
Sebelum ini, Tengku Zafrul menyatakan bahawa delegasi Malaysia akan mengambil peluang itu untuk bertemu dengan dewan perniagaan, syarikat, dan kumpulan berkepentingan bagi menjelaskan pendirian dan situasi semasa Malaysia, serta maklum balas daripada kabinet.​ – TVS.