LIMBANG, 22 April: Kerajaan Sarawak masih menunggu data lengkap berhubung kajian awal yang dijalankan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengenai potensi simpanan minyak dan gas di Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kajian tersebut sedang dijalankan oleh pakar industri bagi menilai potensi sebenar rizab minyak dan gas di kawasan terbabit.
“Kita sudah memberi lesen kepada PETROS untuk menjalankan kajian terhadap potensi minyak dan gas di kawasan Lawas. Saya dimaklumkan bahawa data lengkap kajian dijangka diperoleh pada suku ketiga tahun ini.
“Sebaik sahaja data itu tersedia, mereka akan membentangkan taklimat kepada saya, dan kita sama-sama berdoa agar hasilnya positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Anjung Usahawan Kampung Pahlawan serta menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 di Kampung Pahlawan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata jika kajian itu membuktikan wujudnya sumber minyak dan gas di kawasan berkenaan, ia berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam pembangunan ekonomi negeri, khususnya di kawasan utara Sarawak.
“Penemuan tersebut bukan sahaja dapat merancakkan kegiatan ekonomi, malah akan melonjakkan pembangunan menyeluruh di Sarawak dan membuka lembaran baharu kepada masa depan yang lebih cerah bagi penduduk di kawasan utara,” tambahnya.