PETALING JAYA, 22 April: Penggiat seni yang terlibat dalam industri perfileman digalak untuk membuat caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut menggalakkan warga seni kreatif untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan aspek keselamatan sosial mereka terjaga semasa menjalankan tugas.
Jelasnya, kementerian akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bagi melaksanakan inisiatif itu.
“Penggiat seni filem tidak kira bidang wajar mengambil kesempatan untuk memiliki akaun KWSP manakala aspek keselamatan sosial mereka dititikberatkan menerusi Perkeso.
“Ada beberapa perkara yang akan kita susuli susulan langkah ini, jadi sesi libat urus khususnya bersama FINAS dan Gafema akan diteruskan pada masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya FINAS di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut Fahmi turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Gafema iaitu badan yang menggabungkan 16 persatuan dalam pelbagai aspek penghasilan filem.
Sementara itu, Fahmi berkata FINAS hari ini telah mengadakan sesi libat urus industri kreatif bagi mendapatkan maklum balas daripada pemain industri dalam usaha meminda Akta Finas 1981 (Akta 244).
Menurut Fahmi, pindaan itu juga penting nagi menyelaras kandungan dalam peruntukan akta berkenaan dengan arus teknologi semasa memandangkan banyak perubahan telah berlaku dalam industri perfileman negara.
“Kita ingin mencerminkan tatakelola, tadbir urus dan aspek kawal selia FINAS yang lebih baik serta mantap selain mengambil kesempatan ini untuk mendepani zaman kerana ramai tonton di pawagam dan telefon bimbit.
“Ini memerlukan penambahbaikan kepada akta selain kementerian akan meneruskan lagi libat urus ini,” katanya.
Tambah beliau, pindaan itu akan memberi tumpuan kepada tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan fungsi FINAS. – TVS