MIRI, 22 April: Daerah Marudi bakal melakar sejarah baharu dengan penganjuran acara perlumbaan berbasikal pertamanya iaitu Marudi Classic 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.
Acara ini bukan sekadar medan menguji kekuatan fizikal dan ketahanan mental para pelumba malah turut menjadi platform untuk mempromosikan warisan budaya serta keindahan alam semula jadi Marudi sebagai destinasi pelancongan sukan yang unik di Sarawak.
Laluan perlumbaan sejauh 60 kilometer akan bermula dari Dataran Marudi menuju ke Lubuk Nibong sebelum kembali semula ke hadapan Pejabat Daerah Marudi.
Tiga kategori utama bakal dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Master dan Lelaki Veteran dengan tawaran hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000 berserta trofi berprestij kepada para pemenang.
Setakat ini, seramai 103 pelumba telah mengesahkan penyertaan termasuk 23 pelumba antarabangsa dari Brunei Darussalam serta peserta dari seluruh Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Bagi menjamin keselamatan pelumba dan para penonton, beberapa laluan utama di sekitar Marudi akan ditutup sementara sepanjang acara berlangsung.
Jalan Kampong Cina dan Jalan Komplex Sukan akan ditutup sepenuhnya, manakala Jalan Kapitan Lim Ching Kiat akan mengalami penutupan sebahagian.
Orang ramai dinasihatkan untuk merancang laluan alternatif lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa trafik bagi memastikan kelancaran perlumbaan. – TVS