KUCHING, 22 April: Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap kesaksamaan gender menerusi pelaksanaan dasar 30 peratus bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan pembuat keputusan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan bahawa dasar itu bukan sekadar angka simbolik tetapi cerminan iltizam negara ke arah kepimpinan yang lebih inklusif dan seimbang.
“Namun begitu, dasar semata-mata tidak mencukupi. Kita mesti berhadapan dengan halangan sistemik, meruntuhkan stereotaip yang berbahaya dan mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita memimpin dengan yakin, tanpa rasa takut terhadap diskriminasi atau gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Wanita Ahli Parlimen ASEAN Ke-4 (WAIPA) di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Johari Abdul yang juga Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025 berkata, meskipun wanita semakin menyerlah dalam pelbagai bidang, mereka masih berdepan stereotaip budaya serta bias tidak sedar yang menyekat penyertaan dalam politik, sektor korporat dan pentadbiran.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap ruang digital yang kini menjadi medan gangguan terhadap wanita selain ketidaksamarataan ekonomi yang terus menyekat akses mereka kepada peluang dan sumber yang diperlukan untuk berjaya.
“Perlu kita tekankan bahawa memperkasakan wanita bukan satu tindakan kebajikan. Ia adalah satu keperluan strategik. Apabila wanita diberikan kedudukan yang setara dalam membuat keputusan, ekonomi berkembang, demokrasi menjadi lebih kukuh dan masyarakat lebih makmur,” ujarnya.
Beliau menyifatkan WAIPA sebagai platform yang mampu mengubah dialog menjadi dasar, pakatan menjadi gerakan dan komitmen menjadi tindakan nyata.
Menurutnya, Parlimen yang mencerminkan rakyat sebenar akan menghasilkan demokrasi yang lebih inklusif, berwibawa dan adil.
Beliau turut menekankan bahawa Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) tidak akan dapat dicapai sekiranya ketidaksamaan terus wujud.
“Mendidik seorang gadis bukan sahaja mengubah kehidupannya tetapi juga haluan seluruh komuniti. Apabila wanita berinovasi, mereka bukan sahaja membina perniagaan, mereka membina keseluruhan sektor.
“Apabila parlimen benar-benar mencerminkan rakyat yang diwakilinya, demokrasi akan menjadi lebih inklusif, berwibawa dan adil,” katanya. – TVS