JAKARTA, 22 April: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka di sini.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Ahmad Zahid berkata bahawa beliau amat menghargai peluang mengadakan pertemuan tersebut dengan Presiden Prabowo kerana banyak perkara penting telah dibincangkan.
“Yang penting ialah hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sekadar hubungan serumpun dan tradisional, tetapi kita mesti terus maju ke hadapan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Pertemuan itu telah membuahkan beberapa penyelesaian penting, antaranya dalam industri halal.
Kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam membolehkan penggunaan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM digunakan untuk produk halal yang dieksport ke Indonesia dan sebaliknya.
Dalam masa yang sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu kawasan pertikaian di Selat Melaka, yang telah dimeterai dua tahun lalu, khususnya berkenaan penangkapan nelayan Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia.
Menurut Ahmad Zahid, Indonesia bersetuju agar agensi penguat kuasa kedua-dua negara untuk memberikan amaran dan mengarahkan bot nelayan supaya kembali ke perairan masing-masing jika berlaku pencerobohan, tanpa melakukan penangkapan.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya pendidikan teknikal, kejuruteraan dan profesional.
Dalam peringkat antarabangsa Ahmad Zahid dan Prabowo turut membicangkan mengenai pendirian bersama dalam isu Gaza apabila kedua negara turut memberikan sokongan terhadap bantuan kemanusiaan serta menggesa genjatan senjata secara kekal dapat dilaksanakan, dan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin dapat dijayakan.
Kunjungan ini menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik serta mempererat hubungan persahabatan yang telah lama terjalin.
Pertemuan sekali gus menutup lawatan rasmi tiga hari Ahmad Zahid ke Indonesia yang bermula pada 20 April 2025.