KUCHING, 22 April: Jabatan Pengangkutan Sarawak (JPJ) telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan 2025 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Blok A, Kompleks JPJ Sarawak semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengarah JPJ Negeri Sarawak, Norizan Jili.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, mesyuarat ini memfokuskan perbincangan pelbagai perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju jabatan demi meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan.
“Selesai mesyuarat pengurusan, mesyuarat diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun yang memberi tumpuan kepada pemantauan kewangan serta pematuhan terhadap peraturan kewangan jabatan.
“Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan turut diadakan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan penyelenggaraan, pelupusan dan pengurusan aset jabatan secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.
Keseluruhan mesyuarat berjalan lancar dalam suasana profesional dan kolaboratif, mencerminkan komitmen JPJ Sarawak ke arah tadbir urus yang cemerlang dan berintegriti.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim, bersama ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan yang turut menyertai secara maya.- TVS