KUCHING, 22 April: Jawatankuasa Parlimen Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) berbincang dengan kerajaan Sarawak bagi meneroka potensi kerjasama berkaitan industri tenaga hijau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Parlimen EFTA delegasi Iceland, Grimur Grimsson berkata ia dibincangkan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kami membincangkan tentang pembangunan dan pengeluaran tenaga terutamanya dalam tenaga hijau. Kemampanan dan tenaga hijau adalah kata kunci dalam hal ini termasuk dalam penangkapan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen EFTA delegasi Norway, Trine Lise Sundhes berkata Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA) yang dimeterai pada 11 April 2025 sangat penting untuk Norway.
Menurutnya, Malaysia merupakan keutamaan pihaknya apabila melihat potensi besar dalam teknologi penangkapan tenaga dan karbon, sektor marin dan makanan laut.
“Saya berpendapat perjanjian ini akan membantu Norway dan Malaysia untuk belajar daripada satu sama lain dan mengembangkan perniagaan kita bersama-sama.
“Jadi, ia adalah penting untuk kedua-dua negara dan kami sangat gembira berada di sini dan melihat serta meneroka Malaysia,” katanya.