KUCHING, 22 April: Lebih 60 peratus graduan universiti di Malaysia terdiri daripada golongan wanita, namun penyertaan mereka dalam jawatan kepimpinan masih jauh ketinggalan berbanding lelaki.
Pengerusi Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar berkata, jurang ini wajar diberi perhatian serius kerana setiap organisasi perlu memanfaatkan bakat sedia ada tanpa mengira jantina bagi mencapai prestasi terbaik.
“Adalah sangat penting bagi semua organisasi termasuk negeri untuk menggunakan semua bakat yang mereka ada, lelaki dan wanita, supaya mereka boleh menghasilkan hasil yang terbaik untuk organisasi dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya berusaha membina kecekapan dan kemahiran, khususnya dalam kalangan wanita, agar mereka turut bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan.
Mengulas lanjut, Zarinah berkata pihaknya bekerjasama dengan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia bagi melaksanakan program pembangunan kapasiti.
“Kami cuba menaik taraf, meningkatkan dan mengukuhkan kualiti pengarah dengan memberi mereka latihan lanjut dari segi tanggungjawab fidusiari mereka.
“Ia turut merangkumi dari segi pemahaman mereka tentang kepimpinan strategik sebagai ahli lembaga pengarah, dan juga untuk mencuba dan meningkatkan keberkesanan sebagai lembaga pengarah,” katanya.